Assalamualaikum W.B.T dan Salam Satu Malaysia..
Seperti kebiasaan untuk setiap minggu. Saya akan membuat Jurnal Refleksi. Bagi minggu ke-4 ini, saya berasa seronok mengikuti kelas ini kerana topik yang dibawakan oleh pensyarah adalah "Wayang Kulit" dan merungkaikan dalam 3 aspek iaitu jenis wayang kulit , alat - alat muzik wayang kulit, dan perbezaan bagi setiap wayang kulit.
Pada hari ini barulah saya mengetahui, bahawa wayang kulit adalah berasal dari India dan Cina. Wayang kulit adalah pengkisahan dalang dan patung - patung di atas kelir. Kelir adalah tirai kain putih untuk menangkap bayangan wayang kulit; layar putih (untuk gambar hidup). Ada 4 jenis wayang kulit iaitu : wayang kulit jawa, wayang gedek, wayang kulit melayu dan wayang kulit kelatan.
Wayang kulit jawa atau Wayang Purwa berasal dari Indonesia. Selalunya dipersembahkan dalam kalangan orang Jawa di Johor dan Selangor.
Menggunakan epik Ramayana dan Mahabrata. Bagi mengenalpasti wayang jenis ini, muzik iringan yang digunakan di dalam wayang ini adalah muzik gamelan jawa. Patung yang digunakan adalah menyerupai seperti wayang kulit kelantan. Namun, bezanya adalah dari segi bentuk mata pada patung itu. Contohnya watak pahlawan, matanya ada jahitan dan mata pepelangan bagi watak jahat. Patungnya boleh digerakkan bagi kedua-dua tangannya.Bahasa yang digunakan semestinya Jawa. Namun, ada juga menyelitkan dialek melayu.
Seterusnya wayang kulit gedek. Berasal daripada Thailand. Wayang gedek ini adalah wayang yang selalu dimainkan dikawasan Utara Semenanjung Malaysia iaitu di Perlis dan Kedah. Bahasa yang digunakan adalah campuran bahasa Thailand dan tempatan. Penceritaannya sama seperti Nong Talung. Namun, ada juga cerita yang menerapkan unsur-unsur setempat dan cerita popular masa kini. Patung dalam wayang ini adalah diukir menghadap hadapan. Bermakna posisi patung itu menghadap hadapan dan patung tersebut dipengaruhi Nong Talung baik dari segi ukiran, hiasan dan sebagainya. Hanya boleh menggerakkan sebelah tangan sahaja.Bahasa yang digunakan adalah loghat Siam atau dialek Melayu Kedah. Eposnya adalah Ramayana. Alat muzik yang digunakan adalah serunai,geduk,gedombak,canang,kesi dan cing.
Jenis wayang seterusnya adalah wayang kulit melayu (wayang jawa). Wayang kulit ini dipengaruhi wayang Purwa dari Indonesia. Pada masa dahulu merupakan hiburan bangsawan di Kedah dan Kelantan. Dimainkan di Istana Patani dengan epos Mahabrata. Bentuk patungnya mengikut stail Pulau Jawa. Untuk mengenalpasti dengan mudah, bagi watak baik, biasanya menundukkan kepala ke bawah dan tubuhnya kecil serta elok. Manakala watak kasar dan sombong lazimnya mempunyai hidung yang besar dan kepalanya mendongak ke atas. Kedua-dua sendi tangannya boleh digerakkan.Masih wujud lagi terutama di Kg. Cicah, Kelantan. Bahasa yang digunakan adalah Jawa dan ada juga menyelitkan dialek Melayu. Alat muzik yang digunakan dalam wayang ini adalah : rebab 2tali (F2 & C5), gendang anak dan ibu, gong,kesi mong dan 6biji canang.
Akhir sekali, wayang kulit kelantan yang masih wujud dan popular di negara kita. Banyak menggunakan epos Ramayana. Patung bagi wayang kulit ini banyak persamaan dengan patung Patani. Diukir dalam bentuk mengiring dan kebanyakkan berdiri di atas kenderaan. Hanya tangan di sebelah hadapan sahaja bergerak sambil memegang alat senjata atau lain-lain. Bahasa yang digunakan adalah melayu Kelantan dan dipengaruhi juga dialek Patani. Alat muzik yang digunakan adalah geduk,gendang, gedumbak,serunai,kesi,tetawak dan canang.
Saya juga ada menyelitkan posisi wayang kulit serta posisi alatannya.
Petunjuk
A- Tok Dalang
B& C - Penunjuk Patung
1- Serunai
2-Gendang Ibu
3-Gendang Anak
4-Gedombak Ibu
5-Gedombak Anak
6-Kesi
7-Geduk Ibu
8-Geduk Anak
9-Canang
10-Pemain Gong
(sumber: http://www.kpkk.gov.my/pdf/buku/wayangkulit.pdf)
Saya gembira mengikuti kelas pada minggu ini kerana jikalau sebelum ini, saya hanya mengetahui wayang kulit kelantan dan jawa sahaja. Setelah mengikuti kelas ini, barulah saya mengetahui ada 2 lagi jenis wayang kulit iaitu wayang gedek dan melayu. Selain itu, banyak info baharu yang saya perolehi. Saya juga dapat mengetahui alat - alat yang digunakan untuk setiap jenis wayang. Rasanya tidak sabar mengikuti kuliah ini dengan topik baru iaitu Gamelan dan Caklempong. Okey guys..see you in next week!!
0 comments:
Post a Comment